Wednesday, March 19, 2008
Versi 5 : Berpindah?

Salamun Alaikum...

Benar. Laman ini masih hidup. Tapi hidupnya malas, mati tak mboh. Tumpuan saya bukan lagi pada blog ini. Saya lebih tumpukan hidup pada kehidupan. :)

Pun begitu, saya tidak berhasrat untuk membunuh langsung minat yang saya pupuk sejak tahun 2002 ini. Ya, 2002, saya telah mula blogging. Saya antara 200 orang yang terawal menjadi ahli GengJurnal. Zaman itu blogging belum menjadi trend yang terlalu meluas sekarang. Blog-blogpun masih baru dan masih tahap budak sekolah dari sudut persembahannya. Tapi sekarang, saya sendiripun tak terkejar. Dengan pelbagai widgets dan add-ons, plug-ins dan scripts, maka, saya dapati blog saya kini hanya dilawati oleh orang-orang yang tersesat, atau yang masih kenal dengan saya sahaja. :)

Saya masih belum puas berblogging sebenarnya. Sebab ketika saya merasa nikmat blogging sekitar 2004-2005, nikmat itu ditarik apabila  KDU Ver 3 saya terlalu susah nak dikemaskini. Hasilnya, sayapun mula hilang semangat untuk berblog. Apatah lagi pada tahun 2005, adalah tahun kemunduran saya. Orang kata, zaman gelap. :D

Penulis blog yang baik, dia akan menulis bukan bersekitar tentang dirinya sahaja, bahkan jauh melangkau luas melepasi sempadan diri, keluarga dan lokaliti. Penulis blog yang baik, dapat menyedarkan masyarakat tentang sesuatu isu baik dalam negara, mahupun di luar negara. Peranan penulis blog sebenarnya sama saja dengan peranan penulis di media cetak. Cuma garis pemisah antara penulis blog biasa (yang tulis suka-suka dan sibuk cerita diri sendiri saja) dengan penulis blog isu (menulis untuk kesedaran masyarakat) tidak nampak jelas sangat. Penulis blog yang baik juga, adalah yang selalu kemaskini! (Mengenakan diri sendiri) :)

Saya bukan penulis blog yang baik. Penulis yang baik pun bukan. Saya hanya seorang penulis. Baik dan buruk, kalianlah yang tentukan. Apapun, dalam kelemahan dan kekurangan sebagai penulis, saya masih ingin teruskan kegiatan blog. Tapi bukan lagi di sini. Insya-Allah, di blog baru saya di http://wewr.wordpress.com . Mungkin nanti ada yang bertanya kenapa tak guna wewr.com saja macam UmmuHani.Com atau Amzari.Com , pada saya, cukuplah guna domain wordpress. Saya tidak berkemampuan untuk membayar. Kalaupun di wordpress ada domain percuma untuk .com , saya fikir, saya masih belum berhasrat untuk menggunakannya.

Er....Saya akan cuba isi sepenuh-penuhnya apa yang saya mampu dalam blog baru. Blog baru, semangat kena baru. Mungkin kalian yang hebat-hebat di wordpress boleh ajar saya bagaimana untuk mengendalikan blog wordpress.

Saya akan cuba pindah secara berperingkat. Tiada entri barupun di wordpress, saya cuba pindahkan entri lama-lama di blog-blog lama ke blog baru. Insya-Allah, kalau tak ada aral melintang, nanti akan siaplah blog wajah baru. Blogdrive bukannya tak bagus, tapi agak terkongkong sikit kot.

Bahan-bahan di blog baru, insya-Allah akan lebih pelbagai. Artikel, e-book, media audio dan video, dan macam-macam lagi yang saya akan kongsi...Doakan saya istiqamah menulis.

Blog ini akan jadi kenangan paling indah dalam hidup saya. Sebab di blog ini saya  tulis entri-entri  zaman gelap...:)

Sekian. Wassalam
WeWR


Posted at 03:00 pm by wewr
Comments (3)  




Monday, March 03, 2008
Kini, Dan Akan Datang

Salam

Sebenarnya banyak perkara yang saya mahu tulis. Saya telah merangka satu entri sejak sebulan lalu. Tapi tak pernah tertuang di depan komputer mahupun di dalam blog. Kadangkala saja teringat mahu tulis, tapi selepas duduk di depan komputer, segalanya hilang entah ke mana...

Undi & PRU 12
Saya tidak mendaftar mengundi. Mengapa? Saya lebih senang untuk tidak mendaftar mengundi kerana :
1) Saya tidak mahu undi saya disalahgunakan oleh pihak tak ada tanggungjawab dan tak amanah menjalankan tugas, kerana saya dikira sebagai pengundi tidak hadir sebab di luar negara. Sebarang undi pos yang dijalankan juga TIDAK BOLEH dipercayai. Sila rujuk kes undi pos pegawai polis dan tentera.

2) Kawasan saya di dalam IC adalah kawasan yang confirm ditandingi MCA atau DAP. MCA terang-terang menolak Islam. DAP, ada yang tolak, ada yang tak. Kawasan Rasah biasanya ditandingi oleh bekas Pengerusi DAP, Cheng Man Him (betul ke eja dia..lupa).  Tidaklah perlu saya memberi 'baiah' saya kepada mereka yang  tidak mahukan Islam.  Saya juga kurang selesa untuk mengamalkan daftar undi di kawasan yang bukan kawasan rumah saya seperti yang diamalkan oleh  individu tertentu dalam  parti.  Bagi saya, ia menyerupai amalan BN. Dari sudut legality, ya, memang tidak salah,  tapi ada hadnya. Jika anda ingin buat, ikut suka andalah. Noktah.

3) Apabila tidak wujud kerajaan Islam yang adil, tak wajib memberi baiah taat setia kepada kerajaan yang ada.

Pengembara
Terlepas peluang mahu ikut Hazimin mengembara cuti yang lepas...Entah bila Hazimin mahu datang lagi bikin kembara. Hati teringin nak pergi, tapi tengok poket, BOCOR!

Al-Qur'an
Rutin harian saya, saya berazam untuk membaca sekurang-kurangnya 1 juzuk. Azam saya yang kadangkala tertunai, kadangkala tewas. Biasalah, manusia yang lemah. Dalam bab menghafal, saya surrender sekarang. Saya tak mampu selagi saya belum punya teman menghafal yang sejati. Sebut tentang menghafal, saya masih teringat masa kecil-kecil, selalu hafal Muqaddam. Dan hari ini, saya selalu mengutuk (bahasa kasarnya) pembikin Muqaddam yang TERBALIK susunannya itu. Menyusahkan ingatan saya.  Selalu saya tersilap urutan disebabkan teringat susunan Muqaddam itu. Mengapa tidak digunakan susunan Al-Quran yang biasa? Justeru, ustaz dan ustazah yang budiman, TOLONGlah, jangan guna Quran Muqaddam yang terbalik. Gunalah yang tak terbalik. Guna Quran biasa lebih baik. Jangan seksa ingatan anak murid anda!

Hidup
Hidup kini lebih tenang. Sunyi itu biasa. Saya dari tahun 1 telah biasa sunyi. Tapi sunyi itu seronok kalau dihiasi iman. Tapi kalau dihiasi dunia mal'un, hidup akan jadi hingar-bingar. Donka!

Menulis
Ada orang suruh saya menulis lagi. Dia kata, jangan berhenti. Dia mahu lihat saya menulis selalu. Saya katakan, Insya-Allah. Tapi saya tak mahu berjanji. Sebab saya agak sibuk dengan kuliah. Tapi ada tawaran daripada Cik Ummu Hani Al-Indonisi yang meminta saya tulis cerpen untuk antologi Jabatan Dakwah UM. Saya setuju.

Antologi
Bayangkan, setelah hampir setahun 40 butir naskhah antologi CDRK mengembara dari selatan, iaitu Mesir, pada sebelum pertengahan tahun 2007, masuk ke Port Nuweiba, merentas Laut Merah, tiba di Port Aqabah, terbang dengan coaster ke Mafraq, diculik oleh sebuah BKAN (takleh sebut nama, sensitip...hehe), hilang berbulan-bulan. Akhirnya muncul kembali pada tahun 2008. Mereka tiba 10 biji di rumah saya 2 hari lepas. Itupun setelah diskaun tukang bawa dan tukang jual nantinya...Alhamdulillah. Dapat juga menatap antologi ketiga selepas antologi AAM daripada keseluruhan antologi yang pernah terbit sebanyak 7 buah. Lagi 4 orang (macam zaujah pula), tak sempat sentuh lagi kerana mereka menunggu cik abang mereka pulang ke Malaysia...hehehe... Target utama saya untuk 5 tahun ini sudahpun selesai, bahkan terlebih pula. Ya, menyertai antologi dulu sebelum menembusi media Malaysia. Alhamdulillah, target seterusnya adalah menembusi media perdana pula selepas saya berjaya menembusi media hampir perdana (majalah ANIS). 2 cerpen pula dalam tahun yang sama. 3 majalah (cerpen Julai, Syakhsiah Remaja September, cerpen November) itu juga saya belum sempat tatap. Entah bagaimana wajah saya yang terkeluar di Syakhsiyyah Remaja itu, Cik Ummu itu bikin. Muiez dan Syafiq kata, besar sangat. Oh...Habislah rahsia kejerawatan yang saya ingin sembunyikan selama ini terbongkar dengan leluasanya pada September 2007.
 
Multiply & Saya
Sejak 12 Januari 2008, sudah sukar mahu download music daripada Multiply. Perlu melalui beberapa step yang dilihat oleh ramai orang sebagai leceh. Walaupun masih lagi boleh download. Multiply buat begitu sebab sudah kena saman dengan banyak syarikat muzik antarabangsa seperti EMI. Jadi, tak boleh juga nak salahkan multiply. Dia berhak juga untuk hidup. Sebagaimana slogan saya dulu, kita hidup menumpang percuma di web orang, bila-bila masa orang boleh tendang. Kalau ikut slogan Allah pula, Likulli nafsin ajal. Dah sampai ajal kot music tak boleh lagi download macam biasa. Sejak Januari, saya kurang posting bahan. Tapi akhir Februari, saya  tertarik dengan konsep satu web hosting yang percuma. MediaFire.Com. Insya-Allah, saya akan full speed upload bahan2 ceramah dahulu ke sana, sebelum upload bahan-bahan nasyid(klasik saja) di akaun yang lain. Untuk folder-folder share yang telah dibuat, sila rujuk link ultimate di bawah.

Posting Media
Us Akil Hay Ultimate Mp3/Wma Download Thread
Us Azhar Idrus Ultimate Mp3/Wma Download Thread
Ya Rajaie 4
Syeikh Ibrahim Duwayyish Siri 1


Posted at 07:37 am by wewr
Takkan Tak Nak Komen?  

Ini Bukan Sajak II



MASIHKAH KAU SAYANG PADAKU?


Derap langkahku yang sumbang (Toha : 124)
Tersepak nafsu lalu tumbang (Al-Furqan : 25)
Tersungkur lesu menuju ambang....

Mautkah yang menjemputku? (Al-A'raf : 34)

Masihkah Kau sayang padaku?
Setelah tubuh dikencing syaitanku (Al-Baqarah : 14)
Setelah akal diinjak beku (Al-A'raf : 179)

Yang mana maha dalam atmaku...
Kau atau syaitan membelenggu? (Al-An'am : 125)

Pada janji manis yang tertabur
setiap pertemuan yang didesak akur (Luqman : 32)
Pada lafaz taubat bersyarat (Al-An'Am : 63-64)
Siapa aku mahu mengikat syarat,
pada Raja segala raja dunia akhirat? (Ghafir : 16)

Masihkah Kau sayang padaku?
Setelah darah dosa diwuduk lulur (At-Tahrim : 8)
Setelah azam setia kembali dihulur (Al-Maidah : 83)
Setelah titis air mata suam mengguyur (An-Nur : 31)

Allah, katakanlah...
Masihkah Kau sayang padaku? (Hud : 90)


Posted at 07:10 am by wewr
Comment (1)  




Tuesday, February 05, 2008
Perpustakaan Digital

Perpustakaan Mini/Digital
[Entri ini sebagai menyambut lontaran idea sahabat saya Sdr. Mohd Zaki M Noor di blog beliau sempena Maarad Kutub Duali(Pesta Buku Antarabangsa) di Mesir dan juga sempena ahli rumah yang akan ke Abdali esok pagi memborong buku-buku..(dengan perasaan cemburu saya di hati) ]

Hari Ahad yang lepas, saya ke jamiah untuk tasjil mawad yang masih berbaki...Insya-Allah, semester ini saya akan habiskan 6 mawad lagi. Begitulah, 2-3 tahun belakangan ini keadaan kesihatan saya kurang memuaskan. Saya terpaksa withdraw atau tangguhkan beberapa semester kerana selalu migrain, demam, batuk, bersin, resdung dan macam-macam penyakit yang saya tak tahu dari mana puncanya. Apapun, saya berharap semester ini saya mampu belajar dalam keadaan yang baik; doakan ya?

Kebetulan, waktu bebas yang saya tempah untuk pendaftaran subjek bermula jam 5.20 hingga jam 5.40(saya terlepas waktu asal, iaitu jam 8 pagi hari yang sama). Selesai urusan pendaftaran menggunakan komputer(alhamdulillah, Universiti Jordan semakin maju nampaknya. Tak perlu beratur berebut subjek macam dulu), saya tercari-cari musolla untuk bersolat Maghrib yang telah masuk pada jam 5 tadi. Fakulti tempat saya daftar subjek ini adalah Fakulti Teknologi Maklumat atau lebih dikenali sebagai KASIT II (King Abdullah II Science Of Information Technology). Berpusing-pusing dalam bangunan (yang baru dibina 3 tahun lalu, bangunan terbaru di UJ), akhirnya ketemu...

Selesai solat Maghrib, saya solat sunat di satu sudut musolla. Musolla fakulti ini meskipun agak sederhana saiznya, tidak seperti musolla di Fakulti Syariah atau di Fakulti Tarbiah yang besar dan luas, namun keadaannya begitu kemas dan terjaga. Bersih dan mempunyai satu sudut ilmu yang menarik minat saya untuk berada lama di musolla tersebut.

Apakah sudut ilmu itu? Ya, sebuah perpustakaan digital ilmiah. Bagaimana rupanya sebuah perpustakaan digital? Adakah dipenuhi komputer, telefon mudah alih, mesin faks atau apa? Bagaimana digital yang ilmiah?

Sebagaimana beberapa musolla fakulti lain yang saya pernah ziarah, musolla fakulti IT ini turut mempunyai perpustakaan mini digital yang tersendiri. Perpustakaan berbentuk layan diri ini, merupakan sumbangan pelajar-pelajar di setiap fakulti masing-masing. Perpustakaan mini ini biasanya mengandungi kaset-kaset ceramah dan Al-Quran, CD-CD ceramah (Audio, Mp3 & PC) dan program komputer Islamik dan  buku-buku, risalah-risalah untuk dibaca dan macam-macam lagi. Semua bahan media ini boleh dipinjam  secara percuma (untung, tak perlu beli semua bahan itu untuk digunakan, juga untung sebab  tak perlu ke perpustakaan besar-besar untuk mendapatkan sumber meningkatkan diri sendiri)...Macam negara Jordan yang tidak ada akta larangan cetakan CD dan kaset, anda berpeluang untuk menyalin bahan-bahan ini sebagai milikan sendiri. Sementelah pula, ada ulama' berpendapat (seperti Dr Wahbah Zuhaili), harus bagi penuntut ilmu menyalin bahan-bahan seumpama ini untuk tujuan pembelajaran dan kegunaan sendiri, bukan untuk tujuan komersil.

Keperluan
Saya teringat saranan Imam Hassan Al-Banna juga beberapa pensyarah yang saya temui, apabila mereka seolah-olah sepakat menyatakan, bahawa setiap tamtama pejuang agama Islam ini 'wajib' mempunyai perpustakaan mini di rumah. Doktor Usul Dakwah & Khitabah saya, Dr. Muhammad Al-Haj pula menceritakan pengalaman beliau, ketika membuat tesis PhD, para doktor penyelia beliau ketika itu, ingin bertandang ke rumah. Mereka ingin melihat sendiri perpustakaan setiap pelajar yang membuat tesis PhD. Sekiranya tiada perpustakaan di rumah, jangan harap pelajar itu dapat bikin tesis!

Sahabat baik saya pernah bertandang ke rumah para masyayikh anak murid Syeikh Albani. Beliau menceritakan, perpustakaan setiap syeikh itu, begitu besar dan begitu banyak sekali kitab yang terkumpul. Contohnya: Syeikh Ali Al-Halaby, koleksi kitab beliau mencecah lebih 80,000 buah!

Mudah & Murah!
Dalam zaman serba canggih dan serba mudah mendapatkan bahan-bahan ilmiah ketika ini, mungkin agak kurang praktikal ataupun agak membebankan untuk mendapatkan kitab-kitab yang bercetak, yang berjilid-jilid, dan memakan masa dan wang ringgit untuk mengumpulkannya. Namun, sekarang ini, ada jalan yang agak mudah, dan murah, tapi masih mungkin dilakukan oleh sebahagian besar di kalangan kita. Ya, mengumpulkan bahan-bahan perpustakaan digital. Perpustakaan digital, boleh terdiri daripada bahan-bahan seperti e-kitab, mp3 ceramah & Al-Qur'an, CD & kaset koleksi mutun ilmu syariah berbentuk audio, CD program-program komputer Islami dan pelbagai lagi. Hari ini, terdapat banyak software yang mengumpulkan ribuan kitab dalam satu CD atau DVD. Antara yang terbaik adalah software Mausu'ah Syamilah yang diedarkan secara percuma. Kini Mausuah Syamilah telah terbit versi ketiga yang mengandungi lebih 14GB kitab!

Tidaklah menghairankan nantinya, apabila ustaz-ustazah yang mengajar di masjid-masjid menggunakan laptop dan mensyarahkan kandungan kitab berdasarkan e-kitab. Lebih tidak menghairankan lagi nantinya, apabila soalan agama diajukan oleh hadirin, dijawab secara langsung oleh para asatizah ini setelah menggunakan fungsi carian di dalam laptop masing-masing! :)

Mengimport Idea
Melihatkan manfaat yang sangat besar yang boleh disampaikan kepada komuniti masyarakat kita di Malaysia khasnya, saya kira idea menarik membikin perpustakaan mini di setiap kariah masjid atau musolla sangat-sangat bertepatan dengan seruan ramai pihak untuk mendekatkan golongan muda kepada masjid. Seperti yang kita  tahu, golongan muda lebih dekat dengan bahan berbentuk digital. Dan mereka mudah mendapatkan bahan-bahan negatif juga dalam bentuk digital. Justeru, sebagai pengganti yang positif, adalah lebih baik kita sediakan ruang bagi memudahkan mereka access bahan-bahan Islami.
Seorang AJK di kalangan golongan muda bolehlah dilantik (untuk menjaga perpustakaan mini tersebut), agar mereka dapat menarik rakan-rakan mereka mencintai bahan-bahan ilmiah.

Membina sebuah perpustakaan mini digital di masjid, tidaklah sesukar yang disangka. Setiap ahli kariah boleh menyumbang apa saja bahan Islami yang mereka mampu untuk dikongsi bersama-sama ahli kariah yang lain. Tidak semestinya juga bahan itu berbentuk digital, bahan bercetak juga turut boleh dikongsi. Duit tabung masjid yang beratus-ratus didapati setiap minggu, bukankah boleh digunakan sebahagiannya untuk membina perpustakaan mini?

Penutup
Melalui perpustakaan mini digital, selain dapat berkongsi ilmu dan bahan-bahan yang mengkayakan iman, kita jangan lupa, kita dapat berkongsi pahala dan amal jariah kita sebagai bekal ke akhirat kelak. Ilmu dan bahan yang kita kongsikan kepada orang lain, jika diamalkan oleh mereka, bukankah pahalanya sampai juga kepada kita. Apabila perpustakaan mini itu berpanjangan hayatnya, bukankah amal jariah kita juga akan lebih panjang jangkahayatnya? Insya-Allah, sekiranya niat kita baik, Allah akan mudahkan urusan kita....Amin..

p/s: Saya bersedia untuk menjadi sukarelawan di Negeri Sembilan sekiranya idea ini mahu dilaksanakan oleh mana-mana pihak...



Posted at 05:34 pm by wewr
Comments (2)  




Sunday, August 26, 2007
Bila kan Damai...

Petang ini, saya duduk-duduk depan 'zaujah' saya sambil cuba-cuba tiru suara Hafiz Hamidun dan mengenang-ngenang sambil menghayati lagu baru dalam album barunya, Bilakah Damai. Lagu ini walaupun liriknya tidak terlampau puitis, tapi masih mudah difahami dan bagi saya agak simple namun mengesankan.

Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan lirik dan lagunya. Walaupun mungkin ada yang kurang gemar dengan beberapa perubahan pada penampilan bekas artis UNIC ini, namun, bukanlah di sini tempat mengumpat dan memperkatakan hal orang. Jika anda ingin mengumpat, silalah ke neraka. Noktah.

Penggunaan perkataan yang ekonomik, menjadikan lirik ini tepat dengan melodinya. Cuma, penggunaan situasi anak kecil meratap atau menangisi ibunya, atau pemergian ayah kelihatan agak klise walaupun masih relevan dalam menggambarkan situasi sebenarnya. Semoga usaha  ini menjadi sesuatu untuk menambah kebajikan penyanyi, dan penulis lirik.




Bila kan Damai...

Mentari menangis di senja memerah
Bumi anbia menjadi padang jarak
Puing-puing runtuhan berserakan
Hanyir darah menyesak dada

Tubuh layu gugur bergelimpangan
Bertindih dalam kubur tanpa bernisan
Di hujung sana berjuta kelaparan
Didera wabak yang menyiksakan

Anak kecil bertanyakan bimbang
Mengapa lena ibu terlalu panjang?
Di wajahnya mencerminkan kedukaan
Bilakah pula ayah kan pulang?

Dia yang tak mengerti apa
Menjadi mangsa
Suara tangis syair sendu
Menghiris kalbu
Bilakan berhenti kekejaman?

Anak kecil bertanya bimbang
Mengapa lena ibu terlalu panjang?
Wajahnya mencerminkan kedukaan
Bilakah pula ayah kan pulang?

Dia yang tak mengerti apa
Menjadi mangsa
Suara tangis syair sendu
Menghiris kalbu
Bilakah terhapus penindasan?

Ke mana hilangnya kemanusiaan?
Sampai bila bersilih penderitaan?
Bila pula kan muncul kedamaian?
Soalan yang masih tiada jawapan......

Namun saya lebih suka sekiranya penyanyi-penyanyi nasyid Malaysia sekarang, mengambil contoh penasyid Arab, dengan membikin 2 atau 3 versi album, yang bersesuaian dengan selera umat Islam yang pelbagai mazhab fiqhnya. Pendengar boleh memilih versi yang sesuai dengan pegangan mazhab atau muftinya. Pilih saja, versi muzik, atau versi acapella saja, atau versi duf/perkusi biasa. Mungkin ada yang tak berani bikin begini. Namun, insya-Allah, saya kira kini makin ramai yang mula sedar perbezaan-perbezaan pendapat dalam memilih pendapat yang bersesuaian dengan dalil dan nas. Tidak salah mencuba bukan?



Posted at 07:27 pm by wewr
Comment (1)  

Antara Madu & Gula : Siapakah Anda?

ANTARA MADU DAN GULA : SIAPAKAH ANDA?

Oleh : Asyraff Hafdzan Abdullah

Menelusuri rencah kehidupan yang penuh dengan dugaan dan cabaran, kadangkala memaksa saya berfikir tentang jiwa dan rasa. Kehidupan manusia, adalah terdiri daripada minda, jasad dan hasrat yang mewakili spiritual, fizikal dan intelektual. Hidup manusia tidak akan lengkap tanpa semua elemen tersebut. Apabila elemen-elemen itu bergabung, dan membentuk peribadi, maka di situlah kita akan dapat melihat di mana nilai kita.

Madu & Gula

Gula (sukrosa) terhasil daripada gabungan molekul glukosa & molekul fruktosa yang diekstrak daripada pohon tebu secara kebiasaannya. Gula menjadi makanan asasi dalam kehidupan manusia kini, meskipun, kehadirannya di dalam tubuh manusia, hanya menjadi bahan tambahan kepada tenaga (kalori) dan seringkali menjadi punca kepada pelbagai penyakit seperti kerosakan gigi dan diabetis.

Manakala madu pula, mengandungi bahan utama daripada gula fruktosa (41%), glukosa (35%), sukrosa (1.9%) dan dekstrin (1.5%). Kadar protein dalam madu adalah relatif kecil, sekitar 2.6%. Vitamin pula termasuk vitamin B, B2, B3, B6 & vitamin C. Mineral yang terkandung di dalam madu pula antaranya ialah kalium, natrium, kalsium, magnesium, besi, tembaga, fosforus dan sulfur. Bezanya antara gula dan madu adalah, madu lebih berkhasiat dan mempunyai banyak kelebihan hatta menjadi ubat yang hebat untuk manusia sebagaimana firman-Nya :

"Daripada perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkannya." (An-Nahl : 69)

Kita sering mendengar, ungkapan-ungkapan seperti 'habis madu sepah dibuang', 'semut mati di dalam bekas gula', dan 'kurangkan manis dalam minuman, banyakkan manis dalam senyuman' serta lain-lain. Ungkapan-ungkapan seumpama ini, jika diteliti, sebenarnya menyimpulkan satu intipati yang menarik untuk direnungkan dalam kehidupan kita ini.

Nilai Diri                                                                     

Setiap manusia, mempunyai nilainya yang tersendiri. Sama ada nilai itu ditetapkan oleh undang-undang ciptaan manusia seperti sistem nilai dalam masyarakat ataupun yang diwahyukan kepada manusia sebagaimana di dalam firman Allah: "Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa". Kedua-dua sumber penilaian ini, memberi kesan kepada kehidupan sama ada di dunia mahupun di akhirat. Nilai diri yang dikutip daripada elemen-elemen spiritual, fizikal dan intelektual ini, membentuk peribadi kita selaku manusia yang berinteraksi antara satu sama lain. Nilai diri manusia yang positif adalah seumpama madu sedangkan yang negatif pula bagaikan gula. Nilai madu berbeza jika dibandingkan dengan gula, menjadikan madu lebih istimewa, lebih mahal dan sering dicari, walaupun kadangkala gula juga dicari kerana kehabisan di pasaran. Senyum.

Di Mana Letaknya Nilai Anda?

Saya suka mengambil perumpamaan madu dan gula dikaitkan dengan entiti utama dalam masyarakat iaitu wanita. Madu lebih bernilai daripada gula, madu menyihatkan, sedangkan gula merosakkan. Sebab itu, apabila semut terlalu banyak makan gula, dia akan mati dalam bekas gula. Semut tidak menghurung madu kecuali madu yang tidak asli (campuran gula). Jadi di sini letaknya nilai madu. Wanita sering menjadi objek sasaran semut yang tidak punya nilai spiritual dan intelektual yang tinggi. Cuba kita lihat wanita yang berkecimpung di dalam kerjaya yang menjatuhkan akhlak, betapa banyaknya semut yang menghurung mereka? Wajah yang 'putih' diiklankan. Maruah yang 'manis' diperdagangkan. Akhirnya, semut-semut ini juga turut rosak setelah gula sukrosa wanita terlalu banyak dimamah!

Sedangkan madu pula, walaupun pahit, kata orang-orang yang berumahtangga, namun sebenarnya ia sangat manis. Madu yang baik adalah madu yang asli yang dikumpulkan dan didapatkan dengan begitu susah payah. Terpelihara di dalam sarang lebah, maka cara mendapatkannya melalui jalan-jalan yang sukar, memanjat gunung dan pokok, gua pun ada. Begitulah ibarat wanita solehah yang disukai ramai, tapi tak ramai yang mampu memilikinya.

Persoalannya, adakah anda, wahai wanita (juga lelaki), sebagai gula atau madu?

Lelaki pasangannya wanita. Gula pasangannya semut. Madu pasangannya lebah. Mari kita lihat pula, apa peranan semut. Semut walaupun dari sudut kekuatan fizikalnya mampu mengangkat berat melebihi berat tubuhnya sendiri, tetapi dia tidak mampu untuk makan melebihi hadnya. Sebab itu, semut tidak boleh makan banyak gula, kelak membawa kematian. Semut secara relatifnya mempunyai jumlah yang lebih besar berbanding lebah. 

Lebah pula mengumpul nektar daripada bunga dan dikumpulkan di sarang sehingga akhirnya menjadi madu. Walaupun jumlah lebah sedikit berbanding semut, (ya, Saidina Umar sering berdoa dijadikan dari kalangan golongan yang sedikit, juga hanya sedikit manusia yang dapat masuk syurga) namun berkat kerja yang kolektif, dan berwawasan, lebah dapat mengumpulkan madu yang berkualiti. Wahai para lelaki (wanita juga), setakat manakah kemampuan diri anda? Adakah bilangan sahaja yang ramai tetapi tidak mampu menghasilkan apa-apa, atau sedikit individunya namun menggegarkan dunia?

Renungkan Nilai

Perhatikan nilai diri kita. Adakah bertambah selaras peningkatan ilmu di dada dan minda, iman di atma, atau sering merudum dengan pelbagai dugaan melanda? Adakah nilai diri kita layak membawa kita ke syurga? Atau sekadar menjadi semut dunia?

Sudah kolektifkah kerja kita? Sudah maniskah ukhuwah kita? Sudah putihkah amal dan niat kita? Makin positifkah intelektual kita atau kian negatifkah ia kerana terlebih gula?

Nilai Tambah

Sebagai mahasiswa dan mahasiswi Timur Tengah, sudah tentu, kitalah yang menjadi harapan bangsa dan tanahair untuk membangunkan negara dan agama. Mungkin ada di kalangan kita yang merasa terpaksa datang ke bumi padang pasir ini kerana arahan keluarga ataupun keputusan peperiksaan yang tidak mampu  memberi harapan untuk ke mana-mana selain ke sini. Sebenarnya, masih belum terlewat untuk memperbaiki diri, belum terlajak untuk muhasabah sekali lagi, apa tujuan, apa matlamat permusafiran ini. Sekiranya niat yang bersih, yang berkualiti, manis bumbunya kerana Allah, maka, selagi kaki berpijak di sini, selagi itulah peluang motivasi kendiri terbuka lagi.

Fikirkan, adakah kehadiran kita di sini sekadar menjadi semut-semut, mengangkut gula ke sana ke mari tetapi tidak mampu memanfaatkan gula untuk diri sendiri dan komuniti? Tidak teringinkah kita, menambah nilai 'terbang'nya kita ke sini, menyedut madu ilmu demi membina sarang ummah yang berkualiti tinggi? Cukupkah nektar hikmah yang dikutip buat bekalan famili, masyarakat dan watani? Atau kita perlu memanjat lebih tinggi, mendaki gunung, merentas samudera demi mendapatkan madu yang kita cari-cari?  


Saya tidak perlu bertanya panjang-panjang lagi. Cukuplah anda menjawab, antara madu dan gula, siapakah diri anda?


Posted at 07:22 pm by wewr
Comments (7)  




Monday, August 13, 2007
Pain.....Who's The Killer?

Salam. It's good to update and it's 'too good' to be updated.

For the past 2 days, I've been 'roomized' for something that i didn't expect it to came to my ears right after I finished my final exam. Heard the 'too good to be true' news, my heart throbbed very fast, and I could feel some kind of thin but hard steel, slowly but effective, ripping my heart. It feels like someone stabbed me at the back, painfully, until I hardly walk well, sleep well and I really fell into the well....:)

What's the pain is all about? It's about someone who filled my heart, but for some circumstances, we have to break apart. That was 2 years ago, but still, my heart seems so fragile. I became so jealous about almost everything that happened n happens to her. I felt so stupid to let someone like her go. The thing is, we both suffered after the 'broken pieces'.

Now, the news came to me was that she's going to be married in 2 weeks time. I know that it's a lame excuse to feel jealous or feel stupid or feel something stabbing me, after all I did in the past, and after 2 years of holding in agony, but the feelings are true. I am sure that I have leave the past path with a complete seal, sealed upon my heart, with chocolate toppings, banana split and vanilla ice cream with colors of rainbow! hahaha...But why I should feel the same pain now?

Having another 2 or three injuring news, made me DEMAM!

I want to cry, even though Sami Yusof and Outlandish sang ' Try not to cry', but i think crying is the best remedy for me, who doesn't have friends, who doesn't have someone readily enough to be hearing me uttering my burden that I've been carrying since 13-15 years ago. I want to cry, I put on the best nasyids around, but I can't shed my tears! I tried hardly enough to at least make my tears drops, but it came to no good. Huh...

The 'sebak' (what is sebak in English?) feeling really made my chest and my head in pain. My head spinning. Luckily, I was able to cough out some of the pain. Still, my night that night was a nightmare! hahaha...

I took the painkiller, it's not a bad to your health, not the one with drugs and all, but the killer of the pain really put me in remedy. I consult some of my hologhrapic friends, even though it doesn't really solve the problems, but still, it sooth my heart.

Feeling the same pain when you're not needed by anyone. Not needed by everyone even someone that you hoped very much to need you. The feelings, the same feelings, always come in my dream, always make my night (like 'always make my day' phrase), keeping me almost awake everynight, since the past 3-4 months for now. Oh...

Everytime I look into the past, my tears can easily flow upon my cheeks. Everytime I look into myself, I knew that I'm wronged, I knew that I was very-very stupid, stupid enough to fool myself for more then ten years.

Hm...Who's the killer? Ask Dr  Jekyll...He may come out with an answer. Hehehe...

Posted at 06:54 pm by wewr
Comments (3)  




Tuesday, June 19, 2007
Aku Tidak Layak...

Ini Bukan Sajak

Aku tidak layak
Untuk memiliki
Aku tidak layak
untuk dia,
untuk mereka
untuk bumi ini

Aku tidak layak memiliki
Segumpal manisnya
Sepicing kasihnya
Seinci bumi ini

Aku tidak layak
bukan kerana
tinggiku,
lamaku,
Tapi kerana
gunung silam yang tinggi

Dia,
Mereka,
Bumi ini,
Terlalu tinggi,
untukku sampai dan daki
sehingga tangan yang menghulur
tak pernah dapat kugenggam
tak pernah dapat kucapai rapi

Aku adalah pengembara lembah
di pesisiran nista mereka
Hati, Atma, Jiwa,
Jangan padamkan rasa
kerana cela mereka
adalah semangat buatku
mendenai dunia.

19 Jun 2007
2.05 a.m.


Posted at 03:16 am by wewr
Comments (3)  




Tuesday, March 20, 2007
Muslimah & Gambar

Salam.

Muqaddimah
Terkadang bila melayari weblog-weblog rakan, menjelajah ke dalam dunia maya bagi manusia yang memayakan diri mereka, saya merasa hairan melihat sesetengah weblog muslimah, yang bertudung, yang menutup aurat, tidak segan silu pula untuk memaparkan gambar masing-masing. Tiadalah terlalu salah untuk memaparkan gambar  anda, ya muslimah sekalian, namun, sayangnya, anda terlupa bahawa gambar yang anda posting itu adalah gambar sebesar skrin 17 inci! Setiap butir jerawat dan bulu halus di muka anda terpampang rapi!

Muslimah & Gambar : Ada apa dengannya?
Tidaklah tujuan saya mengaibkan kalian. Saya adalah rakan kamu. Sahabat kamu. Yang enggan melihat wajah-wajah anda itu, dipaparkan sewenang-wenangnya kepada orang. Biarpun wajah bukan aurat mengikut sesetengah mazhab, namun tatkala fitnah mengundang, tidakkah ia melayakkan ianya ditutup dari pandangan umum?

Muslimahku,
Dunia internet semakin berkembang maju. Satu hari, satu weblog, mungkin berjuta-juta orang yang melihatnya setiap hari. Di kalangan mereka ada yang bagus, yang menundukkan pandangan selaras firman Allah dalam Surah An-Nur "Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan." Namun, kita harus akui, bahawa di kalangan jutaan orang itu, ada yang hatinya sakit, ada yang jiwanya perit menanggung kesakitan akibat terlihat wajah-wajah kamu biarpun kamu bertudung litup.

Muslimahku. Kalau kita lihat dunia gambar bukan main maju lagi. Dahulu, cuma setakat kamera yang perlu dicuci gambarnya. Kini, telefon juga menjadi kamera. Kamera pula lebih dahsyat, lebih instant, sesegera mee segera yang sama kerosakan yang dibawanya, penyakit hati.

Alangkah malangnya, kalau wajah-wajah anda yang terpamer itu, mengundang gejolak rasa di jiwa insan bernama lelaki, yang beriman akan beristighfar dan memujuk hati, manakala yang sakit jiwanya, akan mula mengganggu anda. Mula memburu anda dengan SMS, telefon, hatta mungkin mendekati anda, dengan tujuan memiliki anda....Hanya kerana satu kesilapan yang mungkin anda tidak terniat, wajah anda terpampang besar di internet!

Gambar adalah bayangan realiti. Namun mungkin juga ia fantasi. Kadangkala tertipu juga lelaki pada fantasi Photoshop, Fireworks dan seribu satu pengedit gambar lagi. Kalau itu memang tujuan anda, anda tanggung sendirilah. Tapi kalau niat anda cuma berkongsi, dengan tanpa sedar mengajak fitnah bertandang, maka amaran saya, hati-hatilah!

Penyelesaiannya
Andalah sahaja yang mampu menyelesaikannya. Bukan orang lain. Diri anda, andalah yang harus menjaganya. Apa tujuan anda bertudung dan menutup aurat? Bukankah kehendak syariat dan ingin menutup pandangan orang kepadamu? Maka, soalan saya, menundukkan pandangan bukan kehendak syariatkah? Memaparkan wajah anda besar-besar menutup pandangan orang terhadap andakah?

Kerana weblog-weblog dan web foto itu milik anda, seharusnyalah anda kecilkan wajah-wajah anda dengan mengecilkan saiz gambar itu. Banyak cara boleh dilakukan menggunakan perisian pengedit gambar. Belajarlah daripada yang tahu. Hindarkanlah aksi-aksi dan posing-posing yang hanya akan menambahkan lagi kerosakan jiwa masyarakat. Sekiranya niat anda hanya ingin berkongsi dengan rakan muslimah anda, lakukanlah secara tertutup. Elakkan posting yang boleh dilihat oleh segala macam jenis orang. Kalau lebih mudah, anda kirim saja emel bergambar pada rakan muslimah anda itu.

Ingat, wajah anda, anugerah Allah. Anugerah Allah itu hanya layak dilihat berkali-kali oleh yang layak sahaja.

Wallahu A'lam.

Peringatan juga buat diriku yang sering lupa...



Posted at 12:59 pm by wewr
Comments (38)  




Saturday, February 17, 2007
Liku-liku Kehidupan

Bismillahir Rahmanir Rahim

Hari ini, setelah hampir 7 bulan aku tidak pernah kemaskini blog Khabar Dari Urdun ini, entah kenapa hari ini rasa teringin pula.

Alhamdulillah, Allah masih berikan peluang untuk bernafas dan bertaubat kepada-Nya, sepanjang sela-sela nafas inilah, hati, minda, jiwa, sering sangat melakukan dosa kepada Allah. Kadangkala kita bangun, kadangkala kita jatuh. Walaupun selalunya kita jatuh, tapi peluang untuk bangun itu masih ada selagi nyawa belum melepasi tenggorokan. Dalam satu hadith Sohih, "Sesungguhnya pintu taubat itu dibuka selagi nyawa belum melepasi tenggorokan." Aw Kama Qal (sepertimana yang dikatakan oleh Nabi)

Hidupku rupanya masih lagi di sini. Di bumi Jordan, bumi Isra', bumi sira' para nabi dan auliya'. Aku seperti enggan meninggalkan tanah Syam ini, sebab terlalu banyak kenangan yang diukir di sini. Dalam perancanganku, aku patutnya sudah menjadi graduan pada tahun lepas. Tapi, kerana kesihatan, minda dan fikiran, tubuh badan, kurang memuaskan, aku terpaksa tunda pengajianku sampai ke tahun depan. 2008. Aku harap sesiapa di luar sana yang mengenaliku dapat mendoakanku agar berjaya habiskan juga baki yang ada.

Allahlah pemilik segala perancangan dan pemilik taqdir. Kalau sebesar-besar planet dan alam ini pun mampu ditadbir dengan terperinci, sempurna dan cekap, apatah lagi perancangan hidupku yang entah berapa trilion lebih kecil daripada alam ini.

Prioriti juga berubah. Dulu, selalu sibuk dan pening memikirkan hal persatuan, kini, aku harap aku dapat lepaskan semuanya pada bulan 6 nanti. Dulu, selalu pening fikir tentang nikah kahwin. Kini, aku harap aku akan ditunangkan dalam jangkamasa setengah tahun ini. Doakan aku, sahabat-sahabat.

Perancangan jangka panjangpun berubah. Cuma impianku, yang mungkin orang lain tak ada, adalah impian untuk menjadi penterjemah profesional. Aku nampak jalan aku ke arah situ. Kegiatan penterjemahan di Malaysia sebenarnya agak lembab terutama dalam hal buku-buku agama. Ini diakui sendiri oleh doktor-doktor Arab, Malaysia dan lain-lain yang aku  kenali. Harapan aku, dalam masa 2 tahun selepas belajar, mungkin aku akan sambung sarjana secara part-time dan bekerja sambil menimba sebanyak mungkin ilmu tentang penterjemahan sebelum aku melompat ke institusi lain.

Untuk langkah kedua, aku sudah berjinak-jinak menterjemahkan berita untuk Palestin di
PalestinKini.Info
. Alhamdulillah, perkelanaanku ke KL semasa pulang ke Malaysia tempohari sekurang-kurangnya ada natijah positif. Allah perkenalkan aku dengan Ust Maszlee Malik, dgn Faizal AlQuds Productions, dengan Rizal webmaster Palestinkini.Info. Ukhuwwah yang lahir matlamat yang sama.

Urdun masih seperti dulu. Cuma ahli Amman makin bertambah dengan kehadiran pelajar-pelajar sarjana, kedoktoran yang fikrahnya pelbagai. Alhamdulillah, aku terhibur dengan 'kerenah' mereka, tentera-tentera bergajah (anak Ust Mujahid), kakak & Amir (anak abg Razzi) dan 'tokoh pemikir'(anak Ust Ismail) yang aku rindu...sebab dia dah tak mungkin datang Jordan lagi.

Aku harap kehidupanku selepas ini akan kembali fokus. Selepas kucar-kacir dihentam ribut yang tiada sesiapa nampak. Fokus untuk merebut kembali impian yang tersepak jauh, merebut 5 cinta, dan semua itu demi merebut ganjaran-Nya kepada manusia, syurga.

Aku harap, Allah akan perkenankan harapanku....

Posted at 03:45 am by wewr
Comments (4)  




Next Page

wewr
January 13th
Male
Jordan
WeWR adalah kependekan We Were Rafiq. WeWR adalah seorang budak sekolah yang masih mentah dalam sekolah dunia yang terlalu banyak jurusannya, yang terlalu payah mengharunginya. Apapun, WeWR cuba menjadi seorang pelajar yang memahami, dan melangkah setiap hari ke sekolah. Duniaku, sekolahku.

Laman Lain Oleh WeWR
  • Asyraffdini@Esasterawan
  • Ringtone Nasyid
  • Ceramah Melayu
  • Ceramah Arab
  • Karya Sastera Timur Tengah
  • WeWR @ Multiply
  • Nadamurni
  • Al-Qur'an
  • Dr Mohd Asri ZA
  • RT Nasyid
  • Nazam & Matan
  • Mukjizat Al-Qur'an

    Sekolah-sekolah WeWR
  • SRI Hira'
  • Ma'had Al-Ummah
  • KISAS
  • PAQD
  • UIA
  • UM
  • UJ


  •    





    << September 2014 >>
    Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
     01 02 03 04 05 06
    07 08 09 10 11 12 13
    14 15 16 17 18 19 20
    21 22 23 24 25 26 27
    28 29 30






    Contact Me

    If you want to be updated on this weblog Enter your email here:




    rss feed