Saturday, August 12, 2006
Mabruk

Alfun Mabruk buat sahabat saya

Aslam Diyana yang walimahnya pada hari ini. Semoga mendapat redha Allah dan berkekalan ke syurga.

Mabruk juga buat Hud yang menerima kenaikan pangkat dari Unit Perpustakaan dan Penyelidikan kepada Pegawai Perhubungan Awam syarikat.

Mabruk juga kepada saya kerana masih belum jumpa-jumpa lagi rumah untuk Zul dan Dee yang akan sampai pada 19 Ogos ini. Oh...Lelah betul mencari...


Posted at 02:20 pm by wewr
Takkan Tak Nak Komen?  




Friday, July 28, 2006
Google Earth ---> Blog

Salam

Saya malas kemaskini weblog. Saya memang begitu. Tapi kali ini saya ingin mengajak anda 'menziarahi' kawasan tempat tinggal saya melalui peta...Jemput-jemput...Jangan segan-segan...

Bayt Kahfi : Rumah pertama. Terburuk, termurah di Sweileh (40JD saja) dan memang sesuai untuk seorang bujang atau sekelamin. Satu dapur, satu bilik kecil (macam gua), satu ruang tamu sebesar kangkang gajah, dan satu bilik air sekangkang zirafah. Rumah yang banyak kenangan...Memang layak dipanggil zoo...hoho...

Perhatikan ada sebuah sekolah di hadapan rumah. Hoho, pagi-pagi pukul 7 wajib kedengaran bunyi lagu 'Ashal Malik'(Hidup Raja)...Bukan Asha Malik tu...Yang tu buat apa. 

Hotel Fatamorgana : Rumah kedua saya. Saya pindah ke rumah ini setelah Bayt Kahfi. Rumah ini saya tinggal selama setahun. Rumah kedua saya tinggal bersama beberapa orang. Kadangkala 3. Tapi pernah sampai 6 orang. Rumah jadi macam asrama. Haha...

Masjid Abdur Rahman Auf : Masjid yang diasaskan oleh As-Syahid Abdullah Azzam. Masjid ini dulunya Syeikh Soleh yang jadi imam dan mengajar setiap hari. Tapi kini, segalanya sudah kena HARAM!

Jami'iyyah Muhafazah Alal Quran : Ini salah satu markas Pertubuhan Menjaga Quran. Markas ni hidup juga dengan macam-macam aktiviti. Syeikh Solah mengajar kat sini tiap Sabtu.

Bayt Muslim, Malaysia : Inilah rumah terkini saya. Di sini, dah hampir 2 tahun. Nama bayt ni baru saja kami namakan. Kawan serumah saya, Presiden MPPM, yang cadangkan nama tu. Entah, dia begitu obses dengan nama BM. Heheh...Rumah ini ada 3 bilik. Sewa 125JD. Ruang tamu besar, boleh main bola. Haha...Biasanya memang saya sepak bola di ruang tamu. Bilik air pun ada dua....

Kedai Syawarma : Apa itu Syawarma? Ala, roti gulung-gulung macam kebab kat Malaysia tu. Biasanya kalau balik dari universiti, memang akan singgah, kalau lapar dan kalau malas masak!

Jisr Musyah : Satu-satunya jejambat di Hayyu Syarqi, Sweileh, untuk pejalan kaki. Jejambat ni, tiada apa-apa kelebihan. Cuma sesiapa yang memang pernah tinggal di Sweileh, mesti akan rindukan jejambat ni..huhu...

Mat'am Yamani Mukalla : Yang istimewanya di sini adalah,

1) Ada roti macam roti canai. Susah nak dapat kat Jordan tau roti canai ni! Yang bestnya, roti dia sebesar meja!

2) Ada mutobbaq aka Murtabak. Ada sikit je slack murtabak dia, cepat sangat lerai isi dia...tak macam murtabak di Malaysia.

3) Ada teh tarik berperisa herba. Teh susu sudah dimaklumi agak sukar didapati di restoran arab. Kami di sini, kalau minta dua gelas, bayarnya satu gelas sahaja. Taukenya sudah kenal sangat. :)

Di sinilah tempat Syeikh Muaz Said Hawwa mengajar. Masjid ini beliau menjadi imamnya. Tapi sekarang Syeikh Muaz berada di Yaman, menjadi pensyarah jemputan di Jamiah Al-Iman, Yaman. Huhu...Rindu kat syeikh, tak sempat wida' hari tu...:(

Saya di Fakulti Usuluddin. Jadi di sebelah bawah, iaitu belah kiri dalam gambar. Cantik tak universiti saya?

Masjid ini memang nostalgia...Saya pernah belajar Quran di sini. Pernah bertarawih. Pernah bersama-sama Arab menikmati juadah buka puasa. Juadah mansaf!

Babul Yaman (pintu yaman) ni mempunyai hidangan nasi briyani yang berlauk masak merah, sedap. Antara menunya, Briyani, Madghut (pressure rice), Mandi & Zurbiyani. Ayam dan daging (kambing tentunya). Kami rajin order nasi..:D

Syaqaiq adalah kedai menjual buku-buku, kaset-kaset dan CD agama. Memang best sebab banyak pilihan. Dan saya pun memang suka mengumpul, jadi, memang one stop centre la bagi saya.

Akhir sekali...

Tamat Kisah Pengembaraan Dunia Gambar!


Posted at 06:22 am by wewr
Comments (5)  




Wednesday, July 26, 2006
Akhirnya....

Salam semua...

Saya tidak tahu mengapa kali ini terasa mahu kemaskini. Sedangkan dah berbulan-bulan-bulan tak ada rasa mahu kemaskini. Setakat 3 bulan ni, alhamdulillah, banyak benda yang saya dah buat, cuma saya tak maklumkan di sini saja.

Secara ringkas, saya telah berjaya membuka beberapa laman baru di beberapa tempat. Laman-laman tersebut ada kategori masing-masing.

1) E-Sasterawan. Di laman ini, saya khususkan kepada interaksi bersama sasterawan-sasterawan siber. Laman di sini agak khusus, dan disertai oleh beberapa orang sahaja. Saya memuatkan sebahagian hasil karya saya di sini.

2) Ceramah Arab. Ceramah Arab ini saya khususkan untuk meletakkan fail-fail ceramah berbahasa Arab berformat mp3. Setakat ini, yang telah dibubuh adalah Kuliah Tafsir Surah Al-Anfal oleh Syeikh Dr Solah Abd Fattah Al-Khalidi.

3) Ceramah Melayu. Ceramah Melayu ini sebagaimana Ceramah Arab, saya khususkan untuk meletakkan fail-fail ceramah berbahasa Melayu @ yang sewaktu dengannya berformat mp3 (kadang-kadang format lain ada juga). Setakat ini, sudah 5 penceramah yang saya telah bubuh, iaitu Dr. Fadzilah Kamsah, Dato' Dr Haron Din, TG Nik Abd Aziz Nik Mat, Dato' Ismail Kamus, dan Prof Buya HAMKA.

4) Karya Sastera Timur Tengah. Laman ini masih dalam penambahbaikan. Agak kesuntukan masa menyebabkan laman ini agak terbiar sedikit. Tak larat nak selenggara, sebab saya perlu banyak edit dan edit.

5) WeWR.Multiply.Com. Laman ini pula adalah laman alternatif untuk fail-fail mp3 nasyid lama-lama. Memang lama sungguh kerana anda tidak akan temui fail mp3 ini di pasaran. Semuanya adalah nasyid yang diterbitkan sebelum era Raihan atau yang bersifat non-komersil.

6) Al-Quran. Laman ini baru beberapa hari saja saya bina. Dan alhamdulillah, saya baru saja upload bacaan Syeikh Masyari Rashid Al-Afaasi dalam riwayat Warsy, untuk surah Al-Fatihah & Yusuf.

Saya sihat. Urdun? Urdun juga. Kekacauan di Lubnan tidak sampai ke Jordan. Ya, mungkin belum lagi. Tapi kalau tiba masanya, saya pun tidak tahu sama ada saya akan menetap di sini atau tidak.

Letih letai bila program persatuan yang masih banyak dan membebankan. Baru-baru ini sempat menyiapkan 100 keping CD dan 113 penanda buku untuk Kursus Organisasi anjuran JPM & kerjasama MPPM. Saya sendiri yang gatal mahu buat. Hoho. Hujung minggu, sempat pula berkejar ke Mu'tah untuk mengikuti Kursus Hadith Dhoif & Maudhu' anjuran PUTRA (anak Terengganu) dari pagi sampai petang dan di sebelah malamnya, Forum Anatomi & Islam oleh 2 ahli panel, mahasiswa JUST, Irbid (perubatan) dan Mu'tah (agen penjual majalah Ayat dulu, yang kini sudah pupus penerbitan). Minggu ini ada Seminar Akhlak Muslim anjuran BKASJ (anak Selangor) di Irbid pula. Juga hujung minggu ini ada kutipan kotak-kotak kargo yang saya tidak semena-mena menjadi wakil apabila wakil sebenar pulang ke Malaysia meninggalkan tanggungjawabnya begitu saja.

Tadi baru siap buat cover antologi puisi Grup Karyawan Luar Negara, yang diselenggarakan oleh Fahd Razy. Ada la juga komen-komen yang membina. Tapi saya tak boleh letak di sini lagi gambarnya. Kena tanya bos dulu. Kalau bos bagi, baru saya boleh letak. Bos! Boleh letak gambo cover tu kat sini tak?

Hem...Banyak lagi kerja tak siap. My Way, artikel-artikel, puisi Rusia, cerpen Palestin dan lain-lain..huhu...Ponek-ponek...

Minta diri dulu.

Wassalam

 


Posted at 08:19 am by wewr
Takkan Tak Nak Komen?  




Tuesday, April 04, 2006
Promosi Seminar Pencinta Buku Malaysia 2006

SEMINAR PENCINTA BUKU MALAYSIA 2006

Anjuran bersama BukuOnline.Org dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Tarikh: 20 April 2006
Masa: 9:00 pagi - 5:00 petang
Tempat: Dewan Utama Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam

Maklumat Lanjut di sini : http://www.bukuonline.org/seminar

Tarikh akhir pendaftaran ialah 18 April 2006. Pendaftaran adalah PERCUMA.

P/S: Tumpang promosi...Nak pergi tak boleh..


Posted at 08:39 am by wewr
Comment (1)  




Monday, March 13, 2006
Buku Kontroversi Kitar Semula?

Kisah sebuah buku kontroversi dari Mesir

Oleh SYED SHAHRIMAN SYED ALI

SEJAK dunia Islam mengenali dunia percetakan buku, tidak pernah berlaku mana-mana penerbitan yang menimbulkan kegemparan seperti yang berlaku kepada buku al-Islam wa Usul al-Hukm (Dasar-Dasar Pemerintahan Islam).

Buku ini terbit pada April 1925 dikarang oleh seorang ulama al-Azhar dan merupakan Ketua Hakim Mahkamah Syariah, di Mansourah, Mesir. Beliau ialah, Syeikh Ali Abd al-Raziq.

Buku ini dikritik hebat oleh para ulama kerana idea yang dilontarkan di dalamnya bercanggah dengan Islam.

Di samping kritikan itu timbul juga kehairanan masyarakat ketika menatap isi kandungan buku ini, lebih-lebih lagi ia dikarang oleh seorang ulama al-Azhar.

Perkara ini dinyatakan oleh Sa'd Zaghlul, ketika menjadi Perdana Menteri Mesir.

Buku ini cukup ringkas, hanya mengandungi 105 halaman (cetakan asal), tidak termasuk isi kandungan buku (ada enam halaman), indeks (lapan halaman) dan bibliografi (dua halaman) tetapi sarat dengan idea yang menggegarkan seluruh dunia Islam.

Rentetan daripada buku ini juga menyaksikan suatu tindakan drastik oleh Jawatankuasa Badan Kibar Ulama al-Azhar, yang dianggotai 24 ulama kanan al-Azhar pada 12 Ogos 1925, melucutkan jawatan Ali Abd al-Raziq sebagai Hakim Mahkamah Syariah dan gelaran sebagai ulama al-Azhar serta menarik balik segala syahadah yang pernah dikurniakan kepada beliau oleh institusi tertua itu.

Sepanjang abad lalu dan kini, gagasan buku ini masih diperkatakan dan menjadi rujukan dalam ruang pemikiran pencerahan (al-Tanwir) dan pembaharuan (al-Tajdid) malah penulisnya dikaitkan sebagai reformis pemikiran liberal Islam. Iaitu suatu gerakan yang menggoyang akidah umat Islam dan berakarumbikan fahaman sekularisme.

Di sekitar tahun 1990-an, timbul keraguan, siapakah sebenar penulis buku ini. Adakah buku ini sebenarnya hasilan pemikiran `Ali Abdul Raziq atau sebaliknya?

Keraguan ini timbul ekoran tampil salah seorang ulama al-Azhar membuat pengakuan bahawa Ali Abdul Raziq menafikan bahawa beliau adalah pengarang sebenar buku ini. Kedua, setelah dibuat semakan dan penelitian semula secara mendalam isi kandungan buku ini, para pengkaji mendapati terdapat kekeliruan di dalamnya. Sama ada dari sudut uslub dan gaya penulisan, fakta sejarah yang tercatat di dalamnya dan tujuan buku ini diterbitkan.

Al-Islam wa Usul al-Hukm kembali menggegarkan persada keintelektualan dunia Arab khususnya di Mesir, tempat kelahiran buku ini sesudah pengarangnya meninggal dunia pada tahun 1966.

Pendedahan ini disiarkan oleh akhbar al-Jumhuriah di Mesir pada Jumaat 28 Mei 1993. Laporan ini berdasarkan pengakuan Syeikh Ahmad Musallim, anggota Akademi Penyelidikan Islam al-Azhar sewaktu beliau bertemu secara individu dengan Syeikh `Ali Abd Al-Raziq sekitar tahun 1940-an. Dalam pertemuan itu, `Ali Abd. al-Raziq mendakwa penulis sebenar buku ini ialah Dr. Toha Hussein iaitu salah seorang tokoh pemikiran liberalisme Arab.

Antara soalan yang diajukan di dalam temu bual eksklusif wakil akhbar al-Jumhuriah bersama Syeikh Ahmad Hassan Musallim, ``kenapakah pengakuan ini lambat didedahkan kepada khalayak?'' Di sekitar tahun 40-an `Ali Abd al-Raziq masih lagi hidup begitu juga Dr. Toha Hussein. Pastinya jika perkara ini didedahkan mungkin tanggapan masyarakat terhadap isu ini akan berbeza.

Syeikh Ahmad Hssan menjawab, ``Perkara ini berlaku di sekitar tahun antara 1942 hingga 1948. Ketika itu saya baru sahaja menjawat jawatan di dalam sektor kerajaan sebagai pendakwah bagi daerah Bani Mizar.

Pada suatu hari saya dijemput menyampaikan ceramah di mukim al-Mawaddah, kebetulan ia terletak berhampiran dengan mukim Abu Jarh tempat kelahiran Syeikh Ali Abd al-Raziq.

Saya masih ingat lagi, pada hari Khamis selepas solat Asar saya bersiap menuju ke Bani Mizar. Malangnya saya terlepas bas terakhir untuk ke sana. Saya mengambil keputusan ke Abu Jarh untuk meninjau kiranya ada kenderaan sewa di sana, sambil itu mengambil peluang menziarah Sheikh Ali Abd. al-Raziq.

Setibanya saya di rumahnya, kami sempat solat Maghrib bersama. Selesai solat saya lihat beliau bangun menunaikan solat sunat enam rakaat. Beliau memanjangkan bacaan dalam solat begitu juga sewaktu rukuk dan sujud. Terdetik di hati untuk bertanya, lalu saya ajukan soalan kepadanya,'' Wahai Syeikh, bagaimana engkau begitu tekun dan khusyuk menunaikan ibadah sunat, sedangkan engkau adalah pengarang buku al-Islam wa Usul al-Hukm, yang terkenal kerana percanggahannya dengan agama dan mencela akidah Islam?''

Ali Abd. al-Raziq menerawang jauh sejenak, lalu bersuara, ``Adakah benar saya penulis buku itu? Sesungguhnya pengarang sebenar buku itu Dr. Toha Hussein! Saya bertanya minta penjelasan, ``Jika demikian, kenapa ia menisbahkannya kepadamu?''

Beliau menjawab, ``pada mulanya saya juga amat terkejut dengan tindakan Toha Hussein meletakkan namaku sebagai pengarang buku ini. Apabila saya tanyakan sebab beliau berbuat demikian, dengan nada bersahaja beliau menjawab, ``supaya engkau akan menjadi masyhur di mata dunia. Seluruh media massa di dalam mahupun luar negeri akan tertumpu kepadamu untuk membicara dan mendiskusikan idea yang dilontarkan di dalam buku ini.''

Pengakuan Ali Abd. al-Raziq ini amat menggemparkan, apatah lagi ianya didedahkan pula oleh seorang ulama al-Azhar yang dipercayai. Namun tindakan Syeikh Ahmad Hasan Musallim mendedahkan perkara ini setelah bertahun-tahun lamanya memendamkan pengakuan ini juga tidak dapat dipastikan motifnya. Beliau meninggal dunia pada tahun 1997.

Buku ini dianggap pelik kerana penulisnya seorang yang diakui keilmuannya dari sudut agama dan mahupun bahasa kerana terdapat karangan Ali Abd al-Raziq dalam ilmu Balaghah pernah dijadikan teks wajib penuntut al-Azhar.

Umum mengetahui, keistimewaan sesebuah buku terletak pada isi kandungan dan gaya penyampaiannya. Namun buku ini dikesan dari sudut penyediaan isi kandungan, menyisir himpunan gaya bahasa tanpa ketelitian, rancunya idea dan hujah, dan terlompat-lompat tanpa kesinambungan gagasan yang padu, tidak melambangkan gaya penulisan buku pengarang-pengarang Arab.

Umpamanya, di dalam buku ini penulis melontarkan kritikan atau menimbulkan kekeliruan, sesudah itu ia menarik balik penyataannya itu dan menafi dan tidak bersetuju dengan pandangannya tadi.

Kemudian, penulis beralih ke topik yang lain dengan pelbagai kekeliruan. Ternyata, gaya persembahan sebegini persis penulisan sarjana orientalis.

Menurut Dr. Muhammad Ragab al-Bayumi, menerusi respons beliau bertajuk al-Islam wa Usul al-Hukm fi al-Mizan, yang disiarkan dalam Majalah al-Azhar, bil. 1993 hal. 13, menolak penglibatan Dr. Toha Hussein dalam menghasilkan teks ini. Apa yang berlaku, Ali Abdul Raziq mengadaptasi secara keseluruhan atau kebanyakannya idea-idea penulisan orientalis. Khususnya, cetusan pemikiran Thomas Arnold, menerusi bukunya The Khalifate yang diterbitkan oleh Universiti Oxford pada tahun 1924.

Buku ini ditulis Thomas Arnold sejurus kejayaan Kemal Attaturk menumbangkan sistem khalifah di Turki.

Ini dikukuhkan lagi, bahawa Ali Abdul Raziq pernah melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford selama dua tahun, dan berguru dengan dua orang profesor terkemuka di sana iaitu Thomas Arnold dan Samuel Margouliouth yang dikenali membenci Islam.

Dalam keadaan ini apakah rasionalnya buku ini kini, diterbitkan dalam versi terjemahan bahasa Melayu oleh Institut Kajian Dasar (IKD)?

sumber : Utusan Melayu


Posted at 08:05 pm by wewr
Comments (2)  

Hebat ya POLIS kita?

Kumpulan penjenayah Indonesia dilumpuh

SEREMBAN 12 Mac - Polis berjaya melumpuhkan satu kumpulan penjenayah warga Indonesia yang paling dikehendaki setelah menembak mati salah seorang anggota mereka dan menahan seorang lagi dalam operasi khas di Plaza Tol Tangkak, Johor pagi ini.

Dalam operasi yang bermula kira-kira pukul 4.45 pagi itu, penjenayah berusia 30 tahun terbabit ditembak mati semasa menyerang pasukan polis manakala rakannya ditahan kira-kira lapan jam selepas itu di dalam semak berhampiran plaza tol tersebut.

Ketua Polis Negeri, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, kumpulan berkenaan amat berbahaya dan telah melakukan sekurang-kurangnya 18 kes samun serta pecah rumah di sekitar negeri ini sejak tahun lepas.

``Bagaimanapun empat lagi ahli kumpulan tersebut berjaya melarikan diri dan gerakan memburu mereka sedang giat dijalankan,'' katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Nilai di sini hari ini.

Sebelum kejadian menurutnya, kumpulan penjenayah berkenaan telah merompak sebuah rumah di Bukit Kadir, Nilai kira-kira pukul 3.30 pagi ini dan melarikan sebuah van, barangan kemas bernilai RM10,000 serta wang tunai RM3,000.

Jelasnya, dalam kejadian itu, dua penghuni rumah tersebut turut diikat bagaimanapun tidak dicederakan.

``Bertindak atas maklumat orang ramai, sepasukan anggota polis berjaya mengesan van yang dilarikan itu dan mengekori mereka dari Tampin sehingga tiba di tempat kejadian.

``Semasa tiba di tempat kejadian, empat lelaki menaiki sebuah van manakala dua lagi rakan mereka menaiki sebuah kereta Proton Waja berjaya dipintas oleh sepasukan polis,'' katanya.

Khalid berkata, van berkenaan berhenti selepas diarahkan berbuat demikian oleh anggota polis terbabit tetapi dua lagi penjenayah yang menaiki kereta terus memecut.

Ujarnya, seorang lelaki keluar dari van dan bersenjatakan sebilah parang terus menyerang anggota polis.

``Melihat keadaan tersebut, anggota polis telah melepaskan tembakan ke arah mangsa sehingga rebah, dalam keadaan kelam kabut itu, tiga rakannya yang berada dalam van melarikan diri di dalam semak berhampiran.

``Kita menjumpai wang tunai dalam mata wang tempatan, Indonesia serta Hong Kong, sebuah telefon bimbit dan sebilah parang bersama mangsa.

``Pihak polis meneruskan operasi mengesan tiga lelaki yang melarikan diri itu dan berjaya menahan seorang daripada mereka kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini,'' katanya.

Katanya lagi, pemeriksaan ke atas van yang ditinggalkan menemui satu beg plastik hitam yang mengandungi wang tunai RM7,881, dua parang panjang, pelbagai barangan pecah rumah, pisau rambo, sebuah telefon bimbit, sebutir batu jed merah dan tiga batu permata hitam.

Hem. Hebat ya pasukan polis kita... Kes-kes dari tahun lepas pun boleh diselesaikan dengan cepat ya..Oh ya, pengunjung-pengunjung KDU, jangan lupa ulangtahun di bulan 4 ini ya, 23 April ni, jangan lupa ulangtahun tu ya..:)

Hoho...Sekurang-kurangnya 18 kes samun dan pecah rumah? Hoho, memang kurang pun. Kalau tempoh masa kami kena dulu, dalam 2 minggu sudah ada 17 kes, TAKKANLAH(diulangi: SUDAH PASTI TIDAK AKAN) sudah hampir setahun masih lagi 18 kes. Apa kes?

Jauhnya main kejar-kejar? Boleh kami sertai sama? Oho...Begitu saja sudah berjaya melumpuhkan kumpulan paling dikehendaki? Tembak seorang tangkap seorang? Hebat..Polis kita memang hebat.

Jangan jadi macam kawat cam dulu sudahlah. Tangkap 3 Indon, seorang Melayu dan seorang POLIS, tapi yang mampu cam, cuma seorang. Barang rompakan begitu juga. Aduh...aduh...

Saya ajak semua, mari kita sebut kuat-kuat...sama-sama...satu..dua..tiga...

POLIS KITA MEMANG HEBAT!


Posted at 06:39 pm by wewr
Comment (1)  




Thursday, March 09, 2006
Alkisah Sang Penceramah

Dia datang dari jauh. Dari tanahair sendiri. Cuba pusing-pusing Timur Jauh. Cuba bawa fikrah Islam baru. Di Mesir, Jordan, Syria dan semuanya, harap dasar baru laku...

Dia merintih keseorangan menghadapi Islam Liberal. Dia mengadu kekurangan tenaga dan pekerja untuk memperkasa idea Islam Hadhari milik bos besarnya. Dia hadir dengan senyum, yang baginya teramat manis, tapi bagi yang melihat terasa tawar dan sinis.

Dia bawa komuniti Islamdotdotdot dotnet. Pelajar bukan pengajian agama yang tertarik dengan kecantikannya berceramah, lantas bersetuju untuk menyertai gagasan Abdullah. Keliling, pusing-pusing seluruh tempat kami, seumpama hujah yang turut pusing-pusing yang memusingkan pemikiran kami...

Dia dengan gelak tawanya tepuk-tepuk meja bercakap dengan seorang doktor yang dijemput sama. Dia duduk jauh daripada suaminya diselangi lelaki lain kerana protokol negaranya. Dia masih pakai jubah dan kasut tumit tinggi, namun tudungnya sudah bertukar jadi pembalut nangka. Aduhai sang penceramah...

Dia bila mula-mula dialog bersama komuniti dotnetnya, bibirnya senyum kerana sangka, pelajar yang hadir semua akan menyokongnya. Tiba-tiba bangkit seorang pelajar lama, bertanya takrif Islam jajaannya. Ditanya fatwa lacur miliknya. Disuruh agar tidak dipasang cawangan komuniti dotnetnya di sini juga.
Bibir yang mula senyum, bertukar jadi masam. Takrif gagasan Islamnya terlupa dinyata. Pelajar lama dihujahi sebagai jumud, beku dan enggan membuka minda. Fatwa lacurnya, ditambah fatwa baru tentang hukum miliknya. Hukum mengikut keadaan. Jika terpaksa, dibolehkan. Jika terlanjur dimaafkan. Metro Harian dimarahi, kata kolum tidak cukup kalam memenuhi...

Dia bangga perkenal negara punya ICT. ICT arah mana yang baikkah yang burukkah? Dia galak puji Kristian dakwah orang asli. Dia kutuk pendakwah yang tak erti. Dia mahu Islam diterjemah cara baru. Cara ICT (ai, Siti?) yang lebih berbudi pekerti. Dia cerita Akademi Al-Quran. Idea saduran Fantasia Astro Malaysian. Dia mahu tiru program maksiat untuk buat pahala. Dia lupa MSC Malaysia sudah sampai tahap ke mana? Streamyx TMNet ISO nya mampukah ke sana?

Dia datang jauh-jauh untuk buka cawangan kelab. Kisah isu-isu semasa dalam negara cuba dimalap-malap. Dari isu rasuah, murtad, IFC, rang undang-undang, AP kuasa dua, NST, Danish Carlsberg, sampailah isu dalam kelambu bilik gelap. Bila ditanya, mudah-mudah dia jawab. Minda pelajar pembangkang yang menyuap.

Itulah alkisah sang penceramah Mashitah


Posted at 06:03 pm by wewr
Comments (5)  




Tuesday, February 28, 2006
Tidak normal...Yang Tiba-tiba

Dia tidak pernah sakit sebelum ini. Dia adalah seorang yang normal. Sakit-sakitnya kalaupun ada, cuma sakit-sakit biasa seorang yang bergelar wanita. Dia tidak pernah diserang kekronikan penyakit, tidak seperti aku yang kadangkala agak teruk.

Tapi diagnosis semalam agak mengejutkan. Dia menjalani pemeriksaan tekanan darah dan mendapati terdapat keanehan dalam degupan jantungnya. Terdapat denyutan ketiga, yang memberi kesan kepada tekanan darah belah atas (diastolik ke sistolik, aku lupa).

Tiba-tiba ini, yang membuat aku tiba-tiba takut dan tiba-tiba risau dan tiba-tiba pasrah. Khabarnya lagi, kemungkinan untuk memperoleh zuriat agak tipis kerana jantung dia bermasalah.

Hari ini, aku muram semuram-muramnya. Tuhan, andai jodoh telah Kau tetapkan, andai ada daya kami untuk melawan penyakit itu, Kau perkenankanlah. Biar aku tahu aku tidak layak untuk meminta daripada-Mu, ya, aku terlalu cuai dan culas, tapi aku masih memerlukan-Mu!

:( Seri hari ini hilang di sebalik tangisan wanita itu dan keghuyuban ceria hatiku.

  

 

 


Posted at 11:54 pm by wewr
Takkan Tak Nak Komen?  




Sunday, February 26, 2006
Salju, Sewa & Atas Talian Dari Rumah

Salju, Sewa, & Atas Talian Dari Rumah

Lama tak kemaskini.

Atas talian dari rumah?
Oh, online, bukan saya berada di atas talian telefon atau apa-apa tali rentang (penyidai kain) di rumah. Saya bukan akrobatis!

Banyak untungnya online dari rumah:

1) Saya tak perlu mengadap pekerja cyber cafe(cc) yang selalu marah-marah pada saya apabila talian perbualannya dengan 'bini'nya di Amerika diganggu oleh sendat-sendat bit fail yang saya muat turun. Alasan dia guna, orang lain mahu guna talian juga, mahu muat turun juga, tapi banyak kali, hanya saya berdua saja di cyber cafe itu.

2) Saya tak akan berbau busuk seluruh tubuh luar dan dalam setiap kali saya masuk ke cyber cafe itu. Busuk kenapa? Busuk kerana bau rokok! Jangan mimpi selepas setengah jam anda berada di cafe itu, baju luar dan dalam anda akan masih berbau parfum yang anda pakai sebelum keluar rumah.

3) Saya tak usah susah-susah cucuk pendrive di sana, sedut maklumat di sini ke sana ke mari. Cukup di komputer saya, saya boleh dapatkan semuanya. Terima kasih kerana memberi peluang ini.

4) Hari-hari sejuk, saya boleh duduk dalam selimut sambil online, tanpa perlu berbeku-bekuan di CC yang selalunya sejuk itu. Senyum untuk saya.

5) Saya mudah untuk membuat radio internet milik peribadi, laman sawang yang akan dikemaskinikan selalu dan lebih dekat dengan kalian!

Musim sejuk hampir tiba di penghujung. Namun malamnya masih mendingin ke tulang sumsum. Salju baru-baru ini turun 2 kali sahaja. Itupun tidak lama dan sekejap saja sudah cair. Bagi kita orang Malaysia, terutamanya pelajar baru, salji adalah salah satu agenda yang ditunggu.

Musim salju di sini, bukan saljunya yang menarik, tapi selepas salju yang cair, Amman menjadi banjir!


Posted at 10:51 pm by wewr
Comments (5)  




Tuesday, February 14, 2006
Katak Yang Botak

+SATU JAM DI BANK ARAB

Kau dalam mengah, dalam kepala yang hampir bingung mengejar tarikh lupus sebuah pendaftaran subjek, kau berkejar ke jamiah. Kau ingin membuat perhitungan dengan akauntan di bank. Membayar fulus!

Kau wajib segera. Kalau kau lambat bayar, bermakna kau tak akan mengaji semester ini. Kalau kau lambat tiba di bank, bermakna subjek yang kau telah daftarkan itu akan lupus begitu saja. Kau telah kira dengan baik jam 2 petang tadi, semua sekali ada 11 ribu Ringgit lebih. Untuk yuran dua orang. Kau telah tukar dalam Dinar Jordan. Kau akan membayar jumlahnya dalam Dolar pula.

Kau lelah. Mujur, hampir sepuluh minit sebelum jam 3, kau sempat membariskan diri sendiri dalam aturan panjang manusia-manusia yang terpaksa mengenyangkan perut negara batu ini dengan yuran pendidikan yang mahal!

Kau tarik nafas panjang. Ah! Terbau minyak wangi wanita bertudung yang berbogel pula yang berdiri di hadapan kau. Cepat-cepat kau hembus kembali nafas yang berbau zina itu. Lebih baik kau cium bau ketiak sendiri yang baru saja kau sapu dengan Speed Stick, itu lebih mengamankan. Kau hitung-hitung, kau adalah orang yang ketiga belas dalam barisan. Masa berjalan amat lambat.

Kenapalah kau perlu berdiri? Kau fikir kembali, yuran pendidikan kau yang terlalu mahal itu tak mampu untuk membayar harga perkhidmatan yang lebih baik untuk orang-orang senasib kau? Terlalu mahal sangatkah harga mesin pemberi angka giliran untuk dipasang di bank yang satu itu? Terlalu kedekut sangatkah jamiah yang kaya dengan hasil mahsul pendidikan yang 6 kali ganda lebih mahal daripada jamiah lain? Kau gelintar sekeliling, kau lebih takjub, cuma ada 4 buah kerusi untuk lebih 40 orang pelanggan!

Kau diam. Tenang. Hari ini kau tak boleh marah-marah. Sebab itu kepala kau yang hampir botak itu sengaja kau dedahkan demi mencium angin-angin sejuk di celah terik mentari tatkala kau datang ke sini tadi. Kau tenggelam dalam zikir.

Satu bank sahaja dibenarkan untuk anda bayar yuran anda. Satu kaunter sahaja dibuka untuk bayar yuran. Satu minggu sahaja masa yang anda ada. Dulu lebih dahsyat, 2 hari sahaja! Lebih hairan, hampir satu per dua mahasiswa jamiah anda yang berjumlah 12 ribu orang itu, semuanya perlu beratur selama lebih satu jam untuk membuat urusan yang memerlukan cuma sepuluh minit paling lama!

Kau cuba kira. 5500 orang mahasiswa. Masa seminggu, 7 hari bekerja. Bank dibuka jam 8 paling awal, ditutup jam 3. Tujuh jam darab 7 hari, darab 6 (untuk setiap urusan sepuluh minit setiap jam), baru 294 orang yang mampu membayar dalam masa seminggu. Paling cepat 5 minit, itu pun tidak mampu untuk menghabiskan jumlah pembayar yuran yang terlalu ramai. Kau hairan lagi. Harus ada yang tidak sempat membayar pada waktunya, kerana tidak cukup masa beratur, berkejar ke kelas (kelas wajib), sebab-sebab kesihatan (tidak mampu berdiri lama dan lain-lain) lalu akhirnya mereka yang mempunyai alasan yang sangat kuat dan patut dikasihani ini terpaksa membayar denda 36 dolar!

Kau orang kesepuluh. Sudah berlalu 3 orang sebelum kau dalam masa 10 minit. Hampir saja kau tersenyum sambil berangan-angan kau akan dilayan tidak lama lagi bila pegawai bank yang berbaju kot biru memecahkan barisan panjang lebih 30 orang di belakang kau ke 2 kaunter lain. Kau tak jadi senyum. Kau marah. Kenapalah pegawai bank itu tidak fikirkan penyelesaian yang sama sebelum ini? Seingat kau, sudah 2 tahun masalah yang sama tidak pernah selesai. Atau, kau seorangkah yang menyangka ini adalah masalah?

Kau sabar lagi. Lenguh berdiri kau ketepikan. Kau lihat ke sebelah. Barisan lain sudah penuh. Kau hitung barisan kau. Kau orang kesembilan akan dilayan. Siswi negara Teluk bertudung jambul depan kau sudah penat berdiri, dia pergi duduk di salah sebuah kerusi. Kau bertele-tele sendirian sambil melayan pandangan dan fikiran. Kau sudah bosan sebetulnya.

Orang di belakang kau hilang sabar. Dia pergi beratur di barisan lain. Penjaga kaunter di barisan kau rupanya amat lembab mengira. Kau mengira-ngira untuk berpindah barisan. Tapi kau fikir nanti dulu. Sabar dan sabar kau ulangi

Tinggal tiga lagi. Orang yang di belakang kau di barisan lain tadi sudah dilayan. Malang, dia tersilap membawa dokumen. Dia tadi hanya membuang masa berdiri lenguh-lenguh tapi tak dapat membayar. Kasihan dia. Barisan lain tinggal seorang dua sahaja. Kaupun terus ke barisan hujung kanan. Tunggu lagi.

Tiba-tiba barisan tengah kehabisan pelanggan. Kau melompat ke barisan tengah pula. Macam katak pula, melompat-lompat. Akauntan melayan kau. Untuk yuran kau. Kaunter kanan pun habis pelanggan, lalu kau hulur yuran kawan kau ke kaunter itu pula. Kini kau dilayan di dua-dua belah kaunter!

Selesai tandatangan resit, kau paling ke kiri, rupanya kau pelanggan terakhir di di bank itu!

+TAKSIR HARTA
Aku ingin taksir harta. Harta aku tak banyak, tidak berbentuk tunai. Tapi berbentuk aset. Aset-aset ini berharga bila diguna. Aset-aset ini juga berharga bila aku mati. Keliling bilik akulah asetnya. Aku ada kitab, aku ada kaset, aku ada komputer, aku ada CD, VCD, & DVD. Kitab 3 rak tinggi. Kaset 4 rak pusing dan satu almari kecil kau ada. CD, VCD, DVD, terlalu banyak sampai aku penat kira. 7-8 album untuk semua jenis, nasyid, ceramah, al-Qur'an, software, kartun. Towering case pula ada 13 untuk filem Melayu (2), English (1), Cina (3), Jepun (1), Korea (1), dokumentari (1), ceramah (2), dan kartun (2). Koleksi berbentuk file, lebih banyak, ada 11 untuk kartun (2), games (1), software (1), filem Melayu (1), Jet Li (1), Jackie Chan (1), filem Cina (1), videoklip nasyid (1), filem Islamik (1) dan filem Thai (1). Aku rasa, aset ini akan bertambah selagi aku ada duit dan selagi aku ada minat.

Aku dah boleh buka perpustakaan digital!    

+CD WRITER
Penulis CD di komputer aku sudah terlalu tua agaknya. Bukan saja tak mampu baca cerita, tapi tidak mampu untuk menulis. Dia mungkin sudah tiba ke usia pencennya. Kalau menulis cerita, atau apa-apa, pembaca lain tidak faham langsung apa yang ditulis. Entah apa-apa. Sudahnya, cerita atau apa-apa sahaja tulisannya terpaksa ditongsampahkan. Tak perlu tunggu editor sastera bakulsampahkan, tak gitu? Aku cuba bawa jumpa pakar, cuba rehatkan dia sementara waktu, tapi penyakitnya tidak pulih. Bagaimana? Perlukah aku pecat dia atau aku perlu tunggu penulis baru?

+BOTAK KEPALA
Kepala katak sudah botak. Botak kali ini lebih istimewa. Botak yang memberontak!

 

 


Posted at 03:26 pm by wewr
Comments (2)  




Previous Page Next Page

wewr
January 13th
Male
Jordan
WeWR adalah kependekan We Were Rafiq. WeWR adalah seorang budak sekolah yang masih mentah dalam sekolah dunia yang terlalu banyak jurusannya, yang terlalu payah mengharunginya. Apapun, WeWR cuba menjadi seorang pelajar yang memahami, dan melangkah setiap hari ke sekolah. Duniaku, sekolahku.

Laman Lain Oleh WeWR
  • Asyraffdini@Esasterawan
  • Ringtone Nasyid
  • Ceramah Melayu
  • Ceramah Arab
  • Karya Sastera Timur Tengah
  • WeWR @ Multiply
  • Nadamurni
  • Al-Qur'an
  • Dr Mohd Asri ZA
  • RT Nasyid
  • Nazam & Matan
  • Mukjizat Al-Qur'an

    Sekolah-sekolah WeWR
  • SRI Hira'
  • Ma'had Al-Ummah
  • KISAS
  • PAQD
  • UIA
  • UM
  • UJ


  •    





    << November 2009 >>
    Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
    01 02 03 04 05 06 07
    08 09 10 11 12 13 14
    15 16 17 18 19 20 21
    22 23 24 25 26 27 28
    29 30






    Contact Me

    If you want to be updated on this weblog Enter your email here:




    rss feed